Tiada Lagi Azan Anak Penghuni Madrasah

Petikan : Utusan Online ~ Tiada lagi azan anak penghuni madrasah

HULU LANGAT 23 Mei – Sudaya Sawir mungkin tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan anak-anak malang yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, di sini.

Namun, ia tidak sedikit pun mengurangkan rasa sedih atas kehilangan mereka apatah lagi wanita berusia 49 tahun itu mempunyai kenangan yang cukup dekat dengan anak-anak di madrasah itu yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Sudaya adalah jiran yang paling hampir dengan anak-anak malang itu apabila rumahnya hanya dipisahkan tidak sampai 100 meter dari madrasah tersebut.

Tinggal berseorangan kerana dua anak lelakinya bekerja di bandar, penghuni madrasah itulah yang menjadi peneman setia kepadanya sejak berpindah dari Gombak, Selangor kira-kira tujuh tahun lalu.

”Setiap petang anak-anak ini akan bermain bola di tanah lapang betul-betul di hadapan rumah mak cik. Mak cik boleh melihat betapa gembira dan seronoknya mereka bermain bersama-sama.

”Tetapi selepas ini, suara riuh-rendah mereka bermain setiap petang tidak ada lagi,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia di sini.

Kira-kira seminggu sebelum kejadian itu juga, Sudaya membersihkan kawasan lapang itu daripada semak-samun dan barang-barang terbuang supaya anak-anak di madrasah itu dapat bermain dengan selesa serta selamat.

Beberapa barang terbuang seperti besi buruk yang dikutip di sekitar kawasan itu juga dijual dan wang tersebut didermakan kepada madrasah tersebut.

”Siapa sangka, tanah lapang yang mak cik bersihkan itu dijadikan tapak khemah oleh pasukan keselamatan untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Sudaya menambah, apa yang lebih dirindui selepas ini adalah suara paluan beduk dan laungan azan daripada anak-anak di madrasah itu setiap kali masuknya waktu solat lima waktu yang turut bergema sehingga ke rumahnya.

Malah, alunan merdu ayat al-Quran yang dibacakan oleh anak-anak yatim itu pada awal pagi menjelang subuh juga masih lagi terngiang-ngiang di telinganya meskipun semakin sayup kedengaran.

Innalillahi wainna ilaihirojiuun..
Telah tertulis ajalnya. Telah Allah menjemput rohnya melalui malakul maut. Telah sempurna umurnya. Telah terpisah roh dan jasadnya. Itulah ketentuan Tuhan yang akan datang kepada semua makhluknya.


Ingatlah wahai manusia yang hidup lagi sering lalai, ingatlah bahawa mati benar, mati itu tidak dapat dilambatkan atau dicepatkan walau sesaat. Ingatlah dan beramal soleh dan merendah diri serta berbuat kebaikan pada semua makhluk. Ingatlah hidup ni hanya sementara, akhirat kekal selamanya.
Al – Fatihah

Facebook comments:

comments

1 Comment

  1. Firman ALLAH yang bermaksud:
    ” Dan tidak ada satu diri akan mati melainkan dengan izin ALLAH pada suatu waktu yang telah ditentukan. Dan barangsiapa yang berkehendakkan ganjaran dunia Kami (ALLAH) akan beri padanya. Dan barangsiapa yang berkehendakkan ganjaran akhirat, Kami (ALLAH) akan beri padanya. Dan akan Kami (ALLAH) berikan pembalasan yang baik bagi orang yang bersyukur iaitu orang yang tahu berterima kasih”. (Ali-Imran:145)

Leave a Reply