Tertekan nikah di sempadan - UM14May2011

Tertekan Nikah di Sempadan – Remaja Bersama Aniz: UM14Mei2011

As Salam Puan Kaunselor ,

Saya Kamalia tujuan saya menulis kepada Puan ini untuk mendapatkan nasihat berkaitan situasi saya yang amat tertekan saat ini. Saya baru melangsungkan perkahwinan sebenarnya tanpa pengetahuan ibubapa di sempadan bersama kekasih saya kira-kira 7 bulan lalu. Apa yang menjadi masalahnya sekarang ini saya merasa dibohongi apabila mengetahui sebenarnya suami saya seorang penagih dan menambah berat tekanan lagi saya kini dalam tahun akhir pengajian saya. Dengan beban tugasan pelajar, konflik rumahtangga dan perkahwinan yang dilalui saya rasa cukup tercabar. Mungkin inilah balasan dari Allah kerana membelakangi ibubapa, saya kini tersepit sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya. Tolong bantu saya Puan untuk merungkai dan meredakan tekanan yang saya alami.

Kamalia
Pulau Pinang

Jawapan ;
Terima kasih kepada Kamalia atas kirima email. Inilah sebahagian warna-warni kehidupan apabila kita menjejak alam dewasa Kamalia. Permainan emosi, akal fikiran dan iman silih berganti mengambil tempat. Saya percaya setiap ujian yang hadir ada mesej yang ingin disampaikan Allah. Bagi Kamalia sendiri mungkin beranggapan perkahwinan ini satu kesilapan tapi ketahuilah ujian yang hadir tidak pernah silap Kamalia pasti ada hikmah dan pengajaran yang boleh Kamalia jadikan ikhtibar.

Bagi menjawab persoalan Kamalia sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya mohonlah petunjuk dan pimpinan Allah menerusi solat istiharah. Jika sebelum ini keputusan diambil hanya menurut gejolak hati dan perasaan tapi kali ini biarlah pimpinan Allah menjadi pautan dan kekuatan untuk Kamalia mengambil keputusan tanpa ragu lagi. Berterus-teranglah kepada keluarga Kamalia walaupun agak perit untuk menyatakan kebenaran ini tetapi itulah cara yang terbaik untuk Kamalia mendapatkan sokongan dan kekuatan untuk meneruskan langkah seterusnya.

Dekatkanlah diri dengan Allah mudah-mudahan penawar dan hiburan serta kasih sayang Allah mampu mengubat hati Kamalia yang teruji. Mudah-mudahan juga kasih Allah mampu memberi sinar harapan, keyakinan dan kecekalan untuk Kamalia meneruskan langkah yang masih tidak pasti. Dan jangan lupa seperkara lagi tanggungjawab Kamalia sebagai seorang pelajar jangan dihancurkan hanya kerana kekecewaan terhadap janji-janji manis seorang lelaki yang kini telahpun bergelar suami kepada Kamalia.

Sebuah perkahwinan itu menuntut persediaan bukan sahaja sudut fizikal, materi semata-mata tetapi juga emosi, spiritual dan juga minda. Ianya harus disi dengan penuh keikhlasan, persefahaman, kasih sayang, kejujuran dan amanah. Perkahwinan merupakan satu landasan murni untuk pasangan memburu redha Allah dengan lebih sempurna namun sekiranya ada hati-hati yang tidak redha bilamana hak terabai Islam tidak memandang sepi perkara ini. Selaku pasangan anda berhak untuk memilih sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau membubarkannya.Pilihan ada di tangan Kamalia, buatlah keputusan dengan adil, bijaksana dan jujur demi masa hadapan Kamalia. Rasa sayang, rasa kasih sebenarnya akan jauh lebih bermakna bilamana ianya dimulai dengan kita menghargai dan menyayangi diri kita. Bukan maksud memikirkan kepentingan diri sendiri semata-mata tetapi untuk kita belajar menghormati hak diri kita hanya dengan kita apabila menghargai, menghormati dan menyayangi diri kita penuh amanah sebagai hamba Allah insyaAllah kasih Allah akan membantu pensempadan diri Kamalia agar terpelihara daripada manusia-manusia yang zalim. Saya yakin dengan meletakkan Allah sebagai pergantungan, pimpinan dan matlamat insyaAllah Kamalia akan bertemu kekuatan, keindahan dan solusi yang dicari-cari.

Semoga Kamalia dihadiahkan jawapan dalam pencarian ini. Semoga perjalanan yang lebih harmoni, sejahtera dan bahagia di sebalik hiburan Allah yang hadir ini.

Salam Rahmat!

- Life Coaching Klinik Sukses: Bongkar RAHSIA, Temui Keindahan!

Facebook comments:

comments

gratitude-quotes-01
nurkasih

1 Comment

  1. Lina

    Puan,

    Saya bertanya bagi pihak adik. Dia telah bernikah di sempadan thailand. Kini telah mendaftar semula di pejabat agama Manjung. Baru2 ini pendaftaran telah dibuat di pejabat agama ipoh. Di pejabat agama ipoh hanya lah nombor kes diberi.

    Ini bermakna kesnya baru difailkan di pejabat agama ipoh. Apakah prosedur seterusnya. Kini isteri beliau telah mengandung 8 bulan. Bagaimana hendak mendaftar kelahiran anak beliau sekiranya kes beliau masih belum habis (masih belum mendapat sijil nikah sah dari Malaysia). Buat masa ini beliau hanya ada sijil nikah dari sempadan sahaja yang tidak bernilai di sini untuk apa2 pendaftaran anak.

    Apakah langkah seterusnya yang boleh beliau ambil?

Leave a Reply