Tertekan Putus Cinta

Tertekan Kerana Putus Cinta ~ Utusan Malaysia 4.6.2011

As Salam Puan Aniz,

Izinkan saya perkenalkan diri, saya Zetty. Tujuan saya menghantar email kepada Puan adalah untuk memohon bantuan dan pandangan berkaitan konflik yang saya lalui saat ini.

Saya sebenarnya baru putus cinta sebulan yang lalu, pelbagai usaha yang telah saya lakukan tetapi kenyataannya semakin ingin saya ingin melupakan si dia semakin kuat ingatan dan kesedihan yang melanda di dalam diri saya.Lebih menghiris hati lagi perpisahan ini berlaku dalam persiapan kami untuk bertunang tidak lama lagi, dalam diam rupa-rupanya si dia ada wanita lain dalam hidupnya.

Saya benar-benar rasa bodoh dan tertipu sekian lama saya menaruh harapan dan kepercayaan untuk untuk sebuah perkahwinan akhirnya berkecai di tengah jalan. Hinggakan kesihatan saya juga turut terjejas, sejak sebulan ini saya kerap sakit kepala dan badan pun rasa kurang sihat selalu. Apabila bangun tidur sepatutnya badan akan rasa lebih sihat dan segar tetapi saya masih rasa lesu dan tidak bermaya. bagaimana ya Puan saya tidak mahu keadaan ini menjejaskan kerjaya yang baru saya bina. Perhatian dan maklum balas Puan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Zetty, Kuantan

Jawapan;

Terima kasih Zetty untuk kiriman email. Setiap rencana Allah itu ada rahsia dan hikmah yang tersendiri Zetty, syukur hari ini Zetty telah diperlihatkan bahawasanya si dia bukanlah yang terbaik untuk menemani perjalanan hidup Zetty apatah lagi untuk melayari sebuah bahtera rumahtanggga. Kehidupan berumahtangga merupakan suatu ikatan suci yang menuntut kesabaran, keikhlasan, kemurniaan hati, kejujuran dan komitmen pasangan untuk mengemudi agar tidak karam di pertengahan jalan.

Fikirkan sejenak Zetty adakah adil untuk Zetty berkeluh-kesah, bersedih, berduka dan menyimpan rasa benci dan marah sedangkan si dia kini sedang diulit bahagia dengan pasangan barunya. Kekecewaan, pendaman, api benci, marah, kesal dan sakit hati takkan mampu mengubah apa yang berlaku Zetty ianya akan hanya memudaratkan diri Zetty. Membiarkan diri larut dalam bebanan emosi akan hanya memudarkan potensi diri Zetty dan tidak mustahil lambat laun yang menerima impak dari keharmonian diri yang terjejas ini adalah fizikal tubuh Zetty.

Seringkali tubuh menerima isyarat dari interaksi minda, emosi dan spiritual individu maka apabila berlakunya ujian mahupun cabaran diri berada di dalam keadaan tertekan jika dibiarkan tubuhlah yang bakal menikmati habuannya. Zetty ada memaklumkan Zetty baru sahaja memulakan kerjaya, bukan? Cara paling bijak untuk Zetty kembali sihat, segar dan bertenaga selain mendapat pandangan pakar perubatan adalah dengan Zetty sendiri bertanggungjawab menangani isu yang hadir.InsyaAllah dengan melihat kembali ke dalam diri, memanfaatkan potensi diri yang hadir insyaAllah Zetty mampu menanganinya.

Pelbagai teknik boleh digunakan dalam menjayakan penyembuhan diri ini, antaranya termasuklah Emotional Freedom Technique, menulis jurnal yang tertumpu kepada rasa kesyukuran berbanding penderitaan, affirmasi minda yang positif, meditasi dan kuasa doa.Berkongsi perasaan dengan sahabat karib, ahli keluarga serta mendapatkan bantuan profesional diharap berupaya memberi kelapangan dan kelegaan kepada diri Zetty.

Salah satu kunci yang terbaik untuk mengubat luka hati Zetty adalah kemaafan. Maafkan si dia yang telah mencalar emosi Zetty, memusnahkan impian indah Zetty untuk sebuah mahligai bahagia dan mengingkari janji setia yang pernah termeterai di saat mimpi indah di alam percintaan. Ketahuilah Zetty ; kemaafan merupakan hadiah yang terindah sebenarnya bukan untuk orang lain tetapi demi kesejahteraan, kelapangan dan kejernihan hati dan kebahagian kehidupan yang Zetty impikan yang lenyap seketika saat jiwa terhimpit keresahan dan kedukaan yang melanda. Ketahuilah kasih Allah selalu ada, serahkanlah hati Zetty pada Ilahi, bermunajatlah memohon kesembuhan, memohon kekuatan dan pimpinan insyaAllah Allah pasti mendengarkan rintihan hati Zetty.

Selamat menikmati penawar Ilahi dan semoga Zetty bertemu keindahan di sebalik sebuah perpisahan.

Jangan lupa dijemput Zetty dan pembaca Remaja Bersama Aniz untuk mendapatkan newsletter tentang tip penyembuhan diri, motivasi dan Ebook Ekslusif Rahsia Aura, Personaliti dan Penyakit  dengan mendaftar di laman inspirasi http://kliniksukses.anizanwar.com/

Ikuti Program Life Coaching KLINIK SUKSES Jun ini, info lanjut di http://kliniksukses.anizanwar.com/

Facebook comments:

comments

0cd1c62c0a4b4717b41d630ded5a8b9d
Bimbang terjebak zina - UM110611

Leave a Reply