Puan Kaunselor,
Saya Amirah kini sedang menuntut di IPTS, merupakan anak ketiga daripada 4 orang adik beradik dan saya juga amat rapat dengan ayah saya. Apa yang membuatkan saya terpanggil menulis kepada Puan adalah kerana saya sangat tertekan dengan berita penceraian kedua ibubapa saya. Ada insan ketiga dalam hubungan mereka, ayah kini dalam persiapan untuk berkahwin baru. Tolong saya Puan saya rasa sangat tertekan, rasa kehilangan, terpinggir dan sedih kerana kedua ibubapa saya kini telah berpisah. Emosi dan fokus saya kepada pelajaran juga turut terjejas, lebih menyedihkan juga memikirkan ibu yang pastinya juga terluka dengan ujian ini. Saya buntu dan tidak tahu bagaimana untuk menanganinya. bantu saya , Puan.
Amirah – Johor Bahru
Jawapan ;
Terima kasih Amirah atas kiriman email dan pertanyaan. Ujian dan cabaran hadir silih berganti di dalam kehidupan ini ada insan yang diuji dengan kematian, musibah penyakit, kemiskinan, kehilangan , perpisahan dan seumpanya. Bagi Amirah serta keluarga hari ini TERPILIH untuk melalui fasa perhatian Allah dengan berita perpisahan kedua ibubapa Amirah. Sebagai anak pastinya Amirah merasa sedih, kehilangan, takut, bimbang dan seumpamanya namun percayalah Amirah hanya satu KUNCI yang mampu untuk menghubung dan memintal erat KASIH SAYANG Amirah dan ayah iaitu KUASA DOA. Doakan ayah Amirah supaya tidak lupa akan tanggungjawabnya pada Amirah dan adik-adik walaupun sudah mempunyai keluarga baru nanti. Semua ujian yang hadir datangnya dari Allah dan kepada Allah jugalaa tempat TERBAIK kita merujuk dan memanjatkan DOA serta HARAPAN mudah-mudahan segala kedukaan, kesedihan dan berat beban rasa yang ditanggung akan terlupus pergi dengan sendirinya. Semoga ianya digantikan Allah dengan kelapangan hati, kasih sayang, keharmonian dan ketenangan juga kesejahteraan buat Amirah seisi keluarga.
Sungguhpun tiada jodoh ibu dan ayah Amirah untuk terus bersama jangan sesekali Amirah berdendam kepada ayah. Api kemarahan, benci, terkilan, sedih dan terluka andai terus dipendam akan memudaratkan diri usah biarkan emosi negatif ini memudarkan POTENSI DIRI Amirah untuk terus menikmati keindahan dalam perjalanan kehidupan ini. Sekurang-kurangnya Amirah bersyukur Amirah masih punya ibu , punya ayah lagi masih berpeluang untuk terus menikmati kasih sayang daripada mereka berdua walau kini tidak lagi sebumbung. Berbanding ada di luar sana anak-anak yang diuji dengan kehilangan dan kematian ibu dan ayah, tidak sempat menikmati kasih sayang mereka, tapi tidak Amirah, syukur Amirah masih terus berpeluang menikmati kasih sayang mereka.
Baik sangka atas setiap ujian Allah yang hadir saya yakin dan percaya ada sesuatu yang Allah ingin Amirah pelajari di sebalik ujian ini, mudah-mudahan Amirah mampu menjadi insan yang lebih kuat, cekal, tabah dan yakin mengharungi cabaran. Jangan sia-siakan masa depan Amirah sebagai seorang pelajar, berikan YANG TERBAIK tidak berbaloi sekiranya Amirah asyik memikir masalah ibubapa hingga menjejaskan pengajian Amirah pastinya kedua orang tua Amirah juga akan sedih jika keadaan seperti ini berlaku. Ketenangan, kebahagian, kesejahteraan kasih sayang, cinta , kekayaan, kejayaan, pangkat dan segala yang ada adalah MILIK ALLAH maka sekiranya Amirah mencariNYA kembalilah dan kuatkanlah hubungan serta oergantungan diri Amirah dengan Allah insyaAllah KASIH SAYANG Allah akan melengkapi perjalanan Amirah. Itulah KASIH SAYANG yang cukup sempurna sebenarnya. Semoga Amirah lebih tenang, sejahtera dan tabah meneruskan perjalanan. Selamat Maju Jaya di dalam pelajaran dan semoga menjadi anak yang solehah penyejuk hati ibu dan ayah Amirah.
Salam Rahmat!
Nota: Sekiranya anda juga inginkan persoalan anda di jawab sila emailkan kepada saya (nurqudrah786@gmail.com) dgn tajuk email: Remaja Bersama Aniz: (Tajuk masalah anda).
Panduan untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling sila klik http://www.anizanwar.com/perkhidmatan-temujanji/
Leave a Reply