BeyondBlueMentalHealthImage

Sakit Mental : Ancaman Kepada Masyarakat & Bagaimana Untuk Membantu?

Bismillahirrahmanirrahim

 

Syuhada

 

 

 

 

Kemaruk Cinta , Penolakan Dan Meragut Nyawa

Isu kesihatan mental bukanlah suatu isu baru, saban tahun masyarakat Malaysia dikejutkan dengan berita-berita yang mampu membuatkan kita tersentak, sedih dan tidak kurang membimbangkan kita. Kejadian baru-baru ini di mana seorang pelajar institut pengajian awam telah dikelar akibat menolak cinta remaja lelaki yang terlalu obsessif dengannya sekali lagi mendapat perhatian umum. Secara tidak langsung kekejaman yang dilakukan sedikit sebanyak turut mencerminkan betapa wujud keperluaan untuk mendedahkan kepada masyarakat akan kepentingan untuk mendapatkan rawatan, bantuan dan susulan untuk menangani tekanan, bebanan emosi dan kekecewaan yang dihadapi. Membenarkan diri diselubungi kehampaan, kesakitan, kebenciaan, kemarahan dan ditambah pula dengan kecenderungan diri mengambil dadah sebagai ruang ‘escapisme’ nyatanya tidak membantu menyelesaikan masalah malah membuatkan bebanan emosi yang ditempuhi menjadi lebih sukar untuk dikawal sehingga hilang pertimbangan kewarasan diri.

Masalah kesihatan mental yang tidak terkawal ini lazimnya berpunca daripada gangguan kefungsian otak yang menyebabkan kepada perubahan proses pemikiran, emosi dan tingkah laku individu. Keadaan ini boleh menjejaskan kelancaran rutin harian sebagai individu yang normal.

Kini, masalah kesihatan mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh masyarakat dunia dan tidak terlepas masyarakat Malaysia juga. Kejadian pembunuhan, bunuh diri saban tahun makin meningkat dari data stastitik yang diperolehi. Konflik diri, kepercayaan hidup beragama yang rapuh, hubungan kekeluargaan yang bermasalah, penyakit keturunan, pendaman emosi, tekanan hidup serta persekitaran serta sokongan dalaman diri dan luaran yang kurang mantap menyebabkan individu yang melalui fasa krisis atau tekanan ini akan terus hidup dalam ruang dan dunianya yang tersendiri. Tanpa kesedaran diri, ilmu, rawatan dan pendedahan tidak dinafikan golongan ini akan terus hidup dalam beban kesakitan yang dipendam dan konsekuan yang paling mendebarkan pesakit boleh bertindak dan melakukan sesuatu yang boleh menganca nyawanya dan orang lain juga.

 

Kenali Sindrom Pesakit Mental

 

 

 

 

Daripada data yang diperoleh, sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan penduduk di Malaysia mengalami sakit mental bermula daripada kemurungan sehingga ke tahap skizofrenia.

Golongan sakit mental merangkumi mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan ketegangan dan gagal mengatasinya seperti masalah rumah tangga, ekonomi dan tekanan kerja.

Mereka yang gagal membuang tabiat merokok, meminum minuman keras, menghidu gam, mengambil dadah dan berjudi juga tergolong dalam pesakit mental.

Fakta Tentang Penyakit Mental

Penyakit mental bukanlah hanya sejenis penyakit sahaja. Ia terdiri dari berbagai kategori penyakit. Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan utama:

  1. Neurosis:
    • Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka.
    • Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar akan keadaan kesihatan mereka. Fungsi harian mereka mungkin terganggu sedikit. Antara contoh penyakit neurosis adalah seperti berikut:
      • Kemurungan
        • Kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering kita alami. Akan tetapi jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh 2 minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih lazim tetapi penyakit kemurungan.
      • Kebimbangan
        • Penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan berasa takut melampau akan bahaya yang mereka tidak ketahui puncanya
  2. Psikosis
    • Mereka yang mengalami penyakit psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas.
    • Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan. Ia dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah – ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan
    • Mereka mungkin bercakap dengan merapu / mengarut; berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh psikosis yang sering dialami adalah:
      • Schizophrenia :
        • Antara ciri utama ialah: halusinasi; delusi; kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku. Prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
      • Kecelaruan manik-depresif (dwikutub):
        • Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa manik) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).
  3. Kecelarauan Personaliti
    • Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.

Apa yang menyebabkan berlakunya penyakit mental?

Penyebabnya tidak diketahui dengan tepat. Kajian masih dijalankan untuk memperincikan punca sebenar penyakit ini. Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit mental.

  1. Faktor genetik/ keturunan:
    • Ahli di dalam keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental berisiko lebih tinggi berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.
  2. Gangguan bahan kimia dalam otak:
    • Bila bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan muncul. Sebagai contohnya:
      • Schizophrenia: Penghasilan dopamin secara berlebihan
      • Kemurungan: Paras serotonin terlalu rendah
      • Mania: Paras serotonin meningkat secara melampau
      • Kebimbangan: terdapat gangguan di dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin
  3. Jangkitan virus:
    • Mengikut kajian ada penyakit akibat jangkitan virus telah dikaitkan dengan kemunculan penyakit mental.
  4. Sejarah hidup yang getir:
    • Sebagai contoh:  Menusuri pengalaman hidup yang sukar, kematian ibubapa/penjaga, ketandusan kasih sayang semasa proses pembesaran, mangsa penderaan psikologi, fizikal yang kronik semasa kecil, kurangnya bimbingan dan pimpinan menjalani cara hidup yang harmoni dan sejahtera, tiada sokongan moral yang mantap dan asuhan yang baik daripada keluarga dan tidak kurang juga rapuhnya kepercayaan hidup beragama.
  5. Keadaan sosio-ekonomi yang rendah:
    • Faktor kemiskinan, masalah kewangan, tiada kemudahan asas yang baik seperti pendidikan serta persekitaran masyarakat yang “deviant” berlaku keganasan, keruntuhan moral, kezaliman,penganiayaan boleh meningkatkan masalah penyakit mental.

Bolehkah penyakit mental diubati?

  • Ya
  • Kemajuan dalam bidang perubatan moden telah membolehkan penemuan ubat-ubat yang lebih berkesan di dalam merawat penyakit mental.
  • Hampir semua ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental mengambil masa sebelum kesan positifnya boleh dilihat. Kesabaran meneruskan pengambilan ubat secara konsisten amat digalakkan.
  • Selain ubat psikotropik pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.
  • Rawatan elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius.

Dimanakah bantuan boleh diperoleh?

Semua hospital dan klinik kesihatan di Malaysia mempunyai anggota yang telah dilatih untuk memberi rawatan kepada mereka yang mengalami masalah penyakit mental. Pakar psikiatri akan dirujuk untuk kes-kes yang rumit.

Adakah sebarang ujian yang boleh mengesan kewujudan penyakit mental?

  • Ya
  • Mereka yang ingin mengetahui status masalah kesihatan mental mereka boleh mengambil satu ujian yang mudah dan ringkas iaitu Kaji selidik Kesihatan General Health Questionnaire (GHQ).

Bagaimana masyarakat atau individu boleh memastikan tahap kesihatan mental berada di tahap yang baik?

  • Bagi individu normal adalah menjadi keperluan untuk mengawal selia tahap tekanan yang dijalani.
  • Kebijaksaan mengurus komitmen diri, keluarga, kerjaya dan masyarakat secara adil dan harmoni adalah sangat perlu.
  • Mengamalkan pembahagian masa yang bijak khususnya untuk masa rehat, riadah, bekerja, beribadah dan bersosial.
  • Menjaga pemakanan dan minuman.
  • Sekiranya individu merasa tertekan, jangan dibiarkan pemikiran negatif ini terus menguasai sehingga menjadi ‘rumination’ atau video yang berulang-ulang. Keadaan ini boleh menjejaskan bukan sahaja keharmonian diri tetapi juga berjaya menarik segala FOKUS dan POTENSI DIRI tenggelam dan larut dalam fasa krisis yang ditempuhi.
  • Dapatkan bantuan pakar dan profesional bagi menjamin kerahsian, keselamatan dan digniti diri terpelihara.
  • Elakkan daripada berkongsi masalah dengan orang yang salah ; contoh anda mempunyai masalah rumahtangga berkongsi masalah anda dengan rakan sekerja apatah lagi berlainan gender. Ini bukan sahaja boleh mengundang fitnah malah memburukkan lagi keadaan.
  • Menjalani kehidupan mengikut syariat hidup beragama mengikut fahaman dan sistem kepercayaan masing-masing. Kepercayaan hidup bertuhan berupaya membantu meredakan ketegangan dan tekanan yang tidak terkawal.

 

Salam Inspirasi & Kesembuhan ;

Hjh Aniz Hj Anwar

======================================

Untuk Tempahan Temujanji dan Konsultasi boleh SMS/WHATSAPP ke 012.391.5362 untuk respon yang lebih pantas.

 

 

 

Facebook comments:

comments

Success
Feminin 1

Leave a Reply