great-success

Menjemput Damai Dengan Takdir Allah

Bismillah…

Sejak beberapa minggu ini sememangnya jadual sangat padat dengan temujanji sesi kaunseling dan Personal Life Coaching…ho ho ho… pelbagai kisah , pelbagai rasa…pelbagai warna juga DRAMA kehidupan yang menginsafkan dan mengingatkan betapa hidup sememangnya untuk diuji dan selayaknya Allah jugalah tempat kita memohon pimpinan dan keselamatan serta kesejahteraan. Semuanya membawa kepada suatu pergolakan emosi yang hampir sama iaitu untuk menjemput keharmonian dan berdamai dengan takdir Ilahi.

Mengapa terkadang kita tersepit dan terpempam dengan beban rasa sarat yang hebat sedih, kecewa, sakit hati, marah, kesal dan seumpamanya ???

1. Kita sukar untuk menerima kenyataan yang kita juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan diri. Barangkali ada perkara-perkara mahupun kesilapan yang mampu kita hindari namun sayang ia telahpun berlaku dan kita merasa kesal , rasa tidak berguna, marah pada diri sendiri , malu dan seumpamanya.

2. Barangkali juga kita merasa sangat terluka dan kecewa apabila insan yang dekat , signifikan dan hampir dengan kita meluka dan mengecewakan perasaan kita.

Mungkin niatnya untuk menegur kesilapan atau menasihati tetapi penyampaian terlalu kasar kurang tepat pendekatannya.

Mungkin juga niatnya untuk menegur tetapi disertai pula dengan cara yang menyakiti seperti memfitnah dan tidak memberi ruang pada diri untuk mendengar penjelasan yang ingin diberikan pasangan ataupun keluarga cth dalam hubungan anak dan ibubapa.

Sangkaan buruk serta andaian negatif pula mengambil tempat memudaratkan lagi hubungan keharmonian kasih sayang yang ingin dibina.

Sehingga komunikasi boleh terjebak menjadi dingin, kaku dan mencipta jurang ketidakserasian. Malah lebih dikhuatiri lagi jika dibiarkan akan menyimpul dendam dan amarah serta inner rebel dalam hubungan.

3. Sukar untuk memaafkan diri…

4. Sukar untuk memaafkan insan yang hadir menduga perjalanan ini.

5. Kalau aku maafkan …kalau aku berubah…what if??? Adakah layanan dan penerimaannya akan jadi lebih baik atau sekadarnya akan mengulangi kesilapan yang sama

Inilah sebahagian warna warna yang sering dibawakan kepada saya saban hari. Duhai para sahabat…duhai teman-teman yang mencintai bahagia berbahagialah untuk BERANI, IKHLAS dan ISTIQAMAH untuk membenarkan bahagia melamar hadir mengiringi perjalanan dirimu.

Usah disemai benih permusuhan, syak wasangka, kebencian, dendam, kekecewaan, kekesalan serta kesedihan yang berpanjangan. Mana mungkin RAHMAT Allah swt kasih sayang, keharmonian, ketenangan, kebahagian dan kejayaan mampu meluncur laju sekiranya benih benih negatif terus dibenarkan hidup subur….Jangan bermimpi untuk menikmati hidup yang harmoni dan bahagia yang TULEN jika dalam diri sendiri juga masih bermusuhan.

Sesungguhnya jua…kebahagian serta rahmat Allah terhampar indah sedia menanti dengan syarat kita membenar dan memilih penuh ruh , jujur dan ikhlas untuk menjemput kembali ia hadir mewarnai kehidupan ini.

Ingat…bila kehidupan teruji sama ada dengan pasangan, ibu bapa, anak dan seumpamanya mereka BUKANLAH musuh kita. Musuh kita yang sebenar adalah syaitan…cinta yang benar-benar cinta dan sayang yang sebenarnya sayang itu adalah dengan penuh ikhlas juga ruh kasih sayang tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah untuk setia bergandingan saling menguat…membimbing dan melengkapi perjalanan insan insan yang kita sayangi walau kadang tidak dinafi teruji dan tercabar dengan lelah dan putus asa…berehat dan ambilah ruang seketika dan melangkahlah lagi seterusnya dengan memohon pertolongan serta ilmu juga pengetahuan yang benar untuk mencapai sejahtera dan bahagia idaman.

Kesilapan dan kelemahan bukan titik noktah untuk berpaling dan menjauh….sebaliknya IA satu permulaaan untuk kembali memperbaiki dengan memulainya memohon dan menjemput pertolongan Allah dalam mendepani ujian yang hadir. Siapalah kita tanpa hadirNya hanya kepada Allah swt tempat kebergantungan serta penyerahan diri kita.

In sha Allah di dalam “sesi terapi” bersama saya INILAH aspek yang saya tekankan secara indirect….dan Allahu Akbar! Apabila pergantungan diri dengan Allah dan penyerahan yang total itu mampu kita sandarkan untuk menikmati KEMBALI keharmonian diri, kelegaan dan kelapangan bukanlah sesuatu yang sukar jauh sekali untuk mustahil kerana Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui….

Dan sesungguhnya setiap yang berlaku itu tidak pernah sia-sia….ada HIKMAH dan kebaikan yang sarat andai sahaja hati kita ikhlas dan berani melihatnya dan menyelaminya.

Untuk yang sedang mencari-cari….dan berkira-kira untuk membawa diri keluar dari kepompong kesuraman , krisis mahupun kebuntuan hidup semoga perkongsian ini menyuntik keyakinan bahawa Allah swt itu Maha Berkuasa…setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian…setiap kesulitan pasti ada solusi dan penawarnya.

Jangan biarkan diri terbenam di dalam konflik dan kekusutan terlalu lama khuatir nanti menjadi penyakit warisan yang sukar untuk disembuh sedangkan itu semua BAKAL menyulitkan lagi perjalanan dunia dan akhirat yang bahagia…be wise and the same time be gentle and nice to yourself. Sayangi diri terlebih dahulu sebelum menyayangi insan lain. Kerana hanya insan yang bahagia sahaja mampu membahagiakan insan lain LEBIH BAHAGIA. Mudah-mudahan bahagia yang tulen itu mampu menyinari kembali hidup ini dengan lebih bermakna In sha Allah.

Facebook comments:

comments

lc
1

Leave a Reply