Feminin 1

Menangani Isu Sebumbung Tapi Tidak Sebulu

Bismillahirrahmanirrahim

Feminin

 

 

 

 

Alhamdulillah pagi ini saya dapat memenuhi undangan  Feminin TV1 untuk mengupas tajuk berkaitan pasangan yang berkahwin tetapi TIDAK SEBULU. Kupasan topik yang dipilih untuk dibincangkan di dalam Feminin lazimnya merupakan artikel yang turut dipaparkan di dalam Mingguan Wanita. Alhamdulillah , syukur ke hadrat Ilahi suatu pengalaman baru yang sangat menarik dapat bekerjasama dengan Datin Ira Ghani yang juga kenalan lama saya suatu ketika dahulu serta dapat pula berkenalan dengan Puan Rosiati Elias Editor Majalah Mingguan Wanita yang tersohor di Malaysia. Subhanallah! Kupasan dari Puan Rosiati sangat padat, bernas dan cukup menarik…In shaa Allah ada kesempatan nanti saya akan menguploadkan versi penuh bual bicara kami…Tunggu! (^_^)

pasangan tak sebulu

 

 

 

 

Kembali kepada topik pagi ini apa yang dimaksudkan pasangan yang tidak sebulu ini adalah lebih tertumpu kepada pasangan yang berkahwin tetapi di dalam beberapa keadaan, situasi ataupun isu mereka tidak sependapat namun tidaklah bermaksud sehingga boleh mengakibatkan perkahwinan berantakan, huru hara sehingga berlakunya penceraian. Secara umumnya begitulah apa yang dimaksudkan dalam perbincangan kami pada pagi ini. Menerusi artikel mengurus pasangan yang tidak sebulu yang dibincangkan bersama Dr Hj Juanda ada memberikan beberapa TIPS yang sangat menarik dalam menangani isu ini.

Antaranya termasuklah :

1) Mengadakan Sistem Syura Yang Adil ~ Sebagai pasangan adalah sewajarnya dalam mengambil keputusan khususnya perkara-perkara yang lebih besar untuk saling mengambilkira pandangan, nasihat dan hasrat masing-masing. Berdasarkan kepada perbincangan ini kemudiannya ambillah keputusan yang adil dan saksama demi ketenteraman jiwa dan keputusan tersebut disepakati bersama-sama.

2) Elakkan Daripada Kecil Hati, Iri Hati Atau Terasa Hati ~ Ya, sememangnya terkadang diakui ada ketika perasaan kecewa, sensitif, sedih dan seumpamanya itu hadir namun demi kelangsungan perkahwinan yang lebih bahagia , maafkanlah pasangan kerana Allah. Sebagai suami juga diingatkan agar sama sekali tidak menggunakan kuasa VETO yang ada untuk memaksa pasangan menurut titah perintahnya. Sebagai isterinya diingatkan agar tidak sewenangnya menjaja perihal rumahtangga kerana ini boleh mengundang penyakit hati yang lebih sakit dan menduga lagi. Sewajarnyalah sekiranya ada isu-isu perihal rumahtangga yang memerlukan pembaikan, pembetulan dan sebagainya rujuklah mereka yang lebih pakar dan profesional, ini lebih selamat dalam menjamin KERAHSIAN , KESELAMATAN serta DIGNITI pasangan itu sendiri.  Menjaja kisah rumahtangga bukan sahaja boleh menyebabkan kemurkaan Allah swt bahkan juga keberkatan itu diangkat…vibrasi negatif yang menyebut-nyebut kelemahan, kesalahan pasangan pada tempat yang salah tidak banyak yang boleh dibantu bahkan boleh mengakibatkan keharmonian lebih berkocak dan hambar.

3) Bagi mengekalkan kemesraan dan keserasian pasangan disarankan untuk selalu mengingatkan perkara-perkara yang romantik dan melupakan yang pahit. Dalam konflik tak sebulu tapi rindu mesti unik boleh dijadikan kenangan, masa-masa pahit boleh jadi manis jika dihiasi dengan pujukan romantik dan rayuan maut yang mencairkan hati. Seni berkahwin kena dipelajari dan tidak dinafikan perjalanan masa, pengalaman dan proses pembelajaran kehidupan dan alam perkahwinan yang ditelusuri serta penerokaan ilmu boleh sahaja dijadikan alat atau medium untuk melembutkan hati pasangan.

4) Jangan merumitkan konflik tidak sebulu ~ demi kelangsungan kehidupan berumahtangga yang lebih bahagia elakkanlah untuk terus memanjangkan isu-isu atau perkara yang tidak sependapat, tidak sehaluan atau tidak seiringan ini.  Sebaliknya perbezaan itu diraikanlah dengan kasih sayang dan kelembutan mudah-mudahan alam berumahtangga yang dilayari mampu lebih bahagia, sejahtera, harmoni dan mantap.

Itulah sebahagian dari kupasan yang disampaikan oleh Puan Rosiati Elias dalam mengulas artikel Panduan Mengurus Pasangan Tak Sebulu yang terdapat di dalam Mingguan Wanita. Kupasan padat, berisi dan sangat mantap untuk diteladani.

Dalam ruang yang singkat itu juga saya sempat ditanya, BAGAIMANA dan SEBAB APAKAH PASANGAN YANG TIDAK SEBULU ini boleh terjadi???

Ada banyak FAKTOR sebenarnya yang boleh menyebabkan perihal ini terjadi , bagi pasangan yang baru mendirikan rumahtangga lazimnya perbezaan latar belakang, budaya, gaya asuhan, didikan juga nilai yang dipegang boleh sahaja menyebabkan pertembungan. Menerusi kacamata kaunseling perkahwinan setiap pasangan yang berkahwin ini akan melalui beberapa dan antara fasa yang sangat menuntut kerjasama, kesabaran serta keterbukaan pasangan untuk belajar mengadaptasi perbezaan dan menusuri alam perkahwinan ada satu fasa yang dinamakan  FASA REALITI.   Pada FASA REALITI ini  pasangan akan berhadapan dengan cabaran perkahwinan, dunia serta WARNA sebenar pasangan mereka. Jika zaman sebelum berkahwin atau bercinta dahulu perbezaan atau pertembungan pilihan, pandangan atau nasihat sering diiyakan..diakurkan…demi membeli jiwa katanya tapi bila sudah berkahwin lain pula kisahnya. Disinilah ILMU, SENI dan KEMAHIRAN sangat diperlukan ; sikap toleransi, bertimbangrasa, muafakat juga mendengar sebelum mengambil keputusan sewajarnya mampu diapplikasikan dalam melayari alam perkahwinan khususnya bagi mengelakkan isu-isu tidak sebulu ini menjadi stress atau pendaman , kekecewaan serta kehampaan yang dikumpul.

Hati-hati Dengan “Accumulated Stress” , Tidak Sebulu Jika Dibiar Boleh Mengancam Perkahwinan

“Accumulated stress” dalam alam perkahwinan inilah yang boleh menjadi ancaman serta barah yang boleh meragut nyawa keharmonian, kasih sayang, kebahagian serta cinta dalam rumahtangga dalam diam-diam. Itulah nanti tanpa disedari akan menjemput benih-benih tidak harmoni serta lebih banyak keadaan serta isu yang tidak sebulu….Nauzubillahminzalik. Jika situasi ini wujud dalam perkahwinan para pembaca ambillah langkah sewajarnya dapatkan bantuan pakar profesional untuk menangani dan menguruskan beban emosi yang ditempuhi. Rasa yang sarat lelah, terluka, hampa , kecewa, terkilan, kecil hati jika dibiarkan boleh meragut kebahagian hidup hari ini dan akan datang, bertindak bijak untuk dunia dan masa depan yang lebih harmoni dan sejahtera….Setiap dari kita BERHAK untuk bahagia dengan satu syarat kita YANG MEMILIH dan MEMBENARKANNYA tanpa sebarang alasan dan prejudis.

Rahmat Penawar, Ilmu dan Solusi Allah swt Maha Luas…

Ada terapi, ada teknik, ada solusi, ada PENAWARNYA…Untuk yang memilih bahagia, sejahtera dan Cinta Jannah yang menghidup dan menyalakan terus OBOR CINTA bertindaklah lebih bijaksana, amanah, adil dan berani demi kehidupan yang lebih sejahtera, bahagia dan sukses. Seek help…don’t waste your time too long!

Secara kesimpulannya apa yang dapat dirangkumkan perkahwinan itu matlamatnya untuk mencari keredhaan Allah…untuk menumbuhkan ketenteraman jiwa juga mencapai kebahagian makanya adalah lebih bijak untuk tidak mendidik hati dan juga diri untuk cenderung mencari kesilapan, kelemahan dan kekurangan mahupun perbezaan. Tetapi jadikanlah perbezaan, kekurangan dan kelemahan itu satu kelebihan untuk sama saling kita meraikan, menghidup dan melengkapi antara satu sama lain kerana Allah swt. Amanah bukan beban …dan ketahuilah kesempurnaan itu hanya milik Allah…kerana CINTA ALLAH swt lah yang menghidup dan merencana perjalanan hidup ini penuh sempurna begitu jugalah kehadiran pasangan dalam hidup ini. Raikan Cinta…Suburkan Ia Dengan GPS Cinta Jannah….Moga Langkah Lebih Gemilang dan lebih indah dan bahagia lagi tidak sebulu itulah yang menyuburkan yang membuatkan perjalanan lebih menarik dan teruja untuk dijalani…Semuanya untuk dunia yang lebih berseri dan akhirat yang lebih bahagia…Aamiin! In shaa Allah…

 

Salam Inspirasi Cinta Jannah ;

Hjh Aniz Hj Anwar

 

Facebook comments:

comments

BeyondBlueMentalHealthImage
Fix Your Marriage

Leave a Reply