-
Bismillah…
Sudah lama saya ingin menitipkan perkongsian ini apatah lagi sejak akhir-akhir ini banyak sekali permintaan yang hadir berkisar permasalahan dan cabaran yang hampir sama. Bagi setiap pasangan yang berkahwin pastinya kebanyakan daripada kita menginginkan keindahan monogomi yang setia dan berkekalan hingga ke akhir hayat namun tidak semua takdir yang hadir itu seindah impian. Tiada siapa di kalangan para isteri yang hatinya tidak terhiris pedih, hampa dan kecewa ; kenyataan yang tidak semua pasangan mampu menanganinya dengan lancar dan mudah. Ada yang mengamuk, membentak-bentak, tidak dapat menerima kehadiran ahli baru, ada yang memilih untuk memberi ruang mencari halatuju perkahwinan dan tidak kurang juga yang berdepan dengan tekanan dan kemurungan.
Tidak dinafikan untuk beberapa ketika hubungan interpersonal suami isteri pasti akan terjejas, kemesraan menjadi hambar, komunikasi menjadi suram , anak-anak terbiar tanpa perhatian dan kasih sayang , produktiviti dan fokus kerjaya merudum , kehidupan serasa lesu dan tidak bermaya, fikiran buntu dan keliru memikirkan halatuju perkahwinan ibarat dibuang mati emak ditelan mati bapak. Sedangkan hakikat kehidupan perlu diteruskan, hidup perlu redha dan ikhlas menjalani takdir dan cubaan Ilahi…tapi diri terperangkap menjadi mangsa dan keadaan. Itulah sebahagian warna warni kenyataan yang dialami para isteri yang dimadukan.
Dan tidak kurang juga kenyataan perit yang harus dijalani isteri kedua ; hak dan keadilannya tidak tertegak memilih akur mengambil hak orang lain menurut sahaja agar tidak mengeruhkan lagi keadaan yang telah sedia keruh disebabkan kehadirannya. Rindu, sedih dan kecewa berlegar bermain dengan waktu untuk menyesuaikan diri.
Dan tidak kurang selalu juga diluahkan di sisi para suami hanya kerana tindakan memilih untuk menjalani kehidupan berpoligami mereka dilabel dan dihentam sebagai anak derhaka oleh kedua orang tuanya. Berperang di dalam diri antara rasa kasih, belas dan sayang pada ibu takut dilabel anak derhaka dan juga simpati pada isteri isteri membuatkan si suami kebuntuan. Ada dikalangan isteri yang redha suaminya berkahwin lain namun mengakui perlukan bantuan dari suami juga profesional untuk melakukan proses penyesuaian ini, Subhanallah…Alhamdulillah tidak dinafikan ramai pasangan yang hebat di luar sana ; kedua-duanya hadir menjalani sesi kaunseling untuk sama-sama saling menguatkan antara satu sama lain. Sebabnya mereka nampak ini jalan mereka untuk ke syurga Allah…akur dan redha lantas bertanggungjawab untuk mengemudinya penuh ikhlas dan sabar. Inilah rezeki Allah ia datang dalam pelbagai rupa dan bentuk tidak semua terpilih meraih dan merasainya.
Apapun yang bakal hadir ia atas pilihan dan tindakan individu itu sendiri…Sesungguhnya setiap yang berlaku itu tidak pernah sia-sia malah jujur harus saya akui juga ramai juga yang saya temui anugerah kehidupan berpoligami ini telah menemukan mereka dengan kebahagian yang lebih lagi dalam perkahwinan mereka. Malah lebih sweet dari itu mereka menemukan kemanisan iman dan kasih rahmat Allah swt yang luar biasa…sebelum ini tak rasa nak jadi lebih baik…hubungan dengan Allah pun so so sahaja tapi bila amanah dan cabaran itu hadir rasa kebergantungan dan perlukan Allah itu makin menebal dan menerpa secara tiba-tiba rajin berjemaah, qiamulail dan seumpamanya.
Apapun takdir dan ujian yang hadir mengertilah sebagai hamba kita berhak mampu memilih…maka pilihlah dengan bijaksana dengan hati yang lurus dan nawaitu yang benar suci untuk menjemput keredhaan Ilahi di dalam setiap langkah dan tindakan yang diambil. Perkahwinan sebuah ikatan suci maka insan yang memilih menjalani perjalanan ini juga harus ikhlas dan benar matlamatnya kerana apa sekiranya nawaitu…matlamat di awalnya tidak benar…tidak telus…tidak murni lambat laun akan terbongkar juga. Sebelum mengambil sebarang risiko yang boleh mengesani perjalanan dunia dan akhirat mohonlah petunjuk dan pimpinan Allah swt dengan solat istiharah ; In sha Allah mudah-mudahan perjalanan akan lebih tenang dan barakoh. Perlu diingatkan matlamat sebuah perkahwinan adalah untuk mencari keredhaan Allah bukan untuk tujuan “escapism” melarikan diri daripada masalah. Jika perkahwinan yang sedia ada pun bermacam kerenah dan masalah menjebakkan diri dengan satu lagi ikatan hubungan yang serius takut-takut nanti ada hak-hak yang akan lebih terpinggir dan teraniaya ; jangan sesekali memandang remeh tentang hal ini melakukan pengabaian, kezaliman kepada “amanah” Allah iaitu pasangan dan anak-anak itu juga sama maknanya para suami menzalimi dirinya sendiri. Berbahagialah untuk memperbaiki kelemahan yang ada, dapatkan bantuan profesional untuk menangani isu yang hadir mudah-mudahan niat yang ikhlas untuk menjadi pasangan dan hamba Allah yang lebih baik Allah swt akan ketemukan dengan insan-insan yang murni membimbing dan membantu.
Sememangnya itulah warna-warni kehidupan ada insan diuji dengan ujian penyakit, masalah kewangan, kasih sayang dan hubungan ; semua itu sebenarnya untuk membawa kita kembali menemukan kasih sayang Allah swt. Mungkin ada teguran Allah yang ingin disampaikan mudah-mudahan hati yang akur menjalani kehidupan hidup bergelar hamba kita mampu mendidik hati supaya belajar untuk berdamai dengan takdir yang berlaku. Seberat mana, sehebat mana sekalipun ujian yang melanda diri…bahagia yang lebih besar yang ingin dicari adalah akhirat nanti ; mudah-mudahan hati yang lurus merasa tenang, damai serta cukup dengan menjadikan Allah sebagai MATLAMAT akan dengan sendiri menjemput bahagia yang benar-benar bahagia.
Life is full of colors…raikan cinta!!Maksud saya raikan Cinta Ilahi…in sha Allah bilamana cinta Ilahi itu kita raikan …suburkan…In sha Allah hati akan menjadi lebih tenang dan bahagia tak kiralah terpilih menjalani kehidupan monogomi mahupun poligami sebab kita jelas dan tahu apa yang kita inginkan iaitu syurga Allah dan istirehat yang aman dan bahagia di akhirat nanti.
Inspirasi Cinta Jannah ;
Hjh Aniz Hj Anwar
© Copyright KS Consultancy & Training|Shah Alam|2015
Leave a Reply