Bismillahirrahmanirrahim…
Sejak akhir-akhir ini saya banyak menerima panggilan juga pertanyaan berkaitan isu kemurungan, ia termasuklah kemurungan di kalangan remaja, dewasa juga mereka yang berusia emas. Sebelum kita pergi lebih lanjut mari kita fahami dari segi istilah dan definisi apakah yang dimaksudkan dengan kemurungan itu.
Definisi Kemurungan.
Kemurungan (depression) adalah salah satu penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Ia melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kecewa, putus atau putus harapan, hilang semangat untuk meneruskan kehidupan yang bermakna dan gembira. Kehidupan dirasakan sunyi dan kosong. Kemurungan yang berlarutan boleh memberi implikasi yang buruk kepada individu. Selain dari terganggu emosi, individu berkaitan juga akan terganggu fungsi fizikal dan interaksi sosialnya. Aktiviti yang menjadi rutin dan kegemaran tidak lagi memberikan kegembiraan kepada individu yang mengalami masalah kemurungan ini, bagi pasangan yang telah mendirikan rumahtangga pula a tiada minat dan kecenderungan dengan aktiviti seks, ada juga yang hilang selera makan dan tidak kurang juga yang terdorong berselera makan sebagai salah satu bentuk ‘coping mechanism’ melarikan kesakitan mahupun ketidakharmonian diri kepada kegembiraan menikmati makanan, berat badan yang meningkat mahupun sebaliknya , fizikal tubuh yang lesu , kerap jatuh sakit dan mengadu tidak selesa, suka tidur , tidak mengambil peduli tentang kebersihan diri dan juga tanggungjawab yang sedia ada dan mudah lupa serta hilang rasional serta pertimbangan diri, sangat sensitif di antara simptom yang sangat ketara. Rawatan perubatan dan bantuan psikoterapi dan kaunseling perlu diberi seawal mungkin kepada mereka yang terlibat agar ia tidak berlanjutan dan membawa kepada permasalah mental yang lebih serius.
Punca Kepada Masalah Kemurungan
1. Mengalami Trauma dan Sejarah Silam Yang Pahit.
Individu atau mangsa yang mengalami kemurungan ini mempunyai pengalaman silam yang pahit. Antara isu yang sering berlaku termasuklah mangsa penderaan silam tidak kira sama ada secara emosi, fizikal atau psikologi. Ada juga di kalangan mereka melalui peristiwa pahit yang sangat pedih dan mendukacitakan seperti penganiayaan seksual, mangsa jenayah, sumbang mahram, pedophilia , kemiskinan, penghinaan , kemelaratan, perpisahan orang tua, kematian, kehilangan kasih sayang dan tempat bergantung dan seumpamanya.
2. Mengalami Peristiwa Pahit Yang Tidak Dapat Diterima
Individu atau mangsa yang mengalami ini melalui suatu pengalaman yang pahit dan mendukacitakan mereka yang mana sesuatu peristiwa yang mungkin barangkali tidak pernah menjangka akan berlaku terhadap dirinya seperti perpisahan, penceraian, putus cinta, putus tunang, kegagalan akademik, kerjaya, difitnah, dizalimi dan dianiaya sehingga menyebabkan maruah diri atau nilai harga dirinya dirasakan jatuh dan tercemar. Cuba bayangkan sedang bahagia mengulit cinta, membina harapan dan menyulam impian ingin hidup berdua mendirikan rumahtangga tiba-tiba dikhabarkan pasangan tergamak berlaku curang, ada skandal dan memilih untuk memutuskan hubungan atau pertunangan mahunya tidak mereng tak keruan emosi dan hidup sekejap. Itu normal tapi jangan sampai ia berlanjutan sehingga melebihi 2 minggu maka tindakan wajar mendapat bantuan profesional adalah amat perlu supaya hidup kembali sejahtera, sembuh dan berfungsi seperti biasa. Kita tidak mahu pendaman, bebanan emosi , kehampaan dan kekecewaan yang sarat itu dicampakkan pada tempat yang tidak sewajarnya bilamana mangsa memilih menjadi kedua orang tuanya atau adik beradik tempat melepaskan kemarahan dan kesakitan juga penderitaan yang dialami.
3. Dikejutkan dengan berita bahawa diri sendiri atau insan tersayang diuji dengan penyakit kronik.
Individu atau mangsa yang menerima sesuatu berita yang mengejut yang selama ini tidak pernah dijangka akan hadir menduga perjalanan hidupnya contohnya serangan kanser yang tiada harapan untuk sembuh, lumpuh, tidak boleh melahirkan zuriat, terkesan secara fizikal akibat kemalangan jalan raya dan bergelar Orang Kelaianan Upaya dan seumpamanya. Ia menjadi suatu kejutan yang boleh menyebabkan individu bergelut dengan ketakutan, kebimbangan, kesakitan dan peperangan diri yang dirasakan menyusahkan orang lain, putus asa, hilang semangat dan seumpamanya. Jika bantuan tidak diberikan ia akan melemahkan lagi semangat diri, keyakinan dan keupayaan serta potensi mereka untuk kembali sihat sejahtera dan berfungsi menjalani kehidupan seperti biasa.
4. Hilang mata pencarian atau sumber pendapatan akibat pergolakan ekonomi, pengangguran, muflis dan seumpamanya.
Dalam dunia hari ini yang serba mencabar faktor kewangan memainkan peranan yang tidak kurang penting apatah lagi jika individu itu sudah berkeluarga mempunyai tanggungan yang perlu dijaga kebajikan diri dan keperluan mereka kemelesetan ekonomi, hilang punca pendapatan , pengangguran dan kejatuhan perniagaan boleh menyebabkan individu mengalami kemurungan dan hilang kepercayaan dirinya untuk bangkit dan transform mengubah takdir hidupnya. Jika konflik dalaman , kegagalan, serabut , keliru dan kebuntuan ini tidak diberes dan ditangani dengan baik maka inilah nanti yang akan menjadi punca kepada perjalanan hidup yang tersekat dan tidak berupaya maju ke hadapan.
5. Faktor Genetik Dan Keturunan.
Ada juga segelintir keadaan berlaku keadaan kemurungan ini dibayangi oleh pengaruh faktor genitik sungguhpun keadaan ini tidak berlaku secara langsung akan tetapi pengalaman melalui episod melihat kemurungan berlaku di dalam keluarga boleh menyebabkan ianya terserap masuk dalam sistem pemikiran dan pengalaman dan apabila berlaku sesuatu ujian yang besar seperti kegagalan , perpisahan dan seumpamanya kecenderungan untuk berlaku kemurungan itu sangat tinggi. Sebagai contoh pengalaman seorang anak melihat ibunya menjadi mangsa kemurungan yang membawa kepada masalah mental disebabkan oleh penindasan , pengabaian suami dan kezaliman suami yang juga ayahnya suatu ketika dahulu menyebabkan dia menyimpul dendam, peperangan, kesakitan dan sukar untuk memaksimakan potensi dirinya untuk maju dan mara ke hadapan. Keupayaan pengendalian tekanan dan juga stress golongan ini menjadi sangat lemah dan tidak mampu berfungsi seperti insan normal yang lain. Isu-isu kecil boleh sahaja menjadi satu isu besar baginya, sangat sensitif, tidak bijak berinteraksi dan cenderung memiliki kepercayaan diri yang lemah serta berfikiran negatif. Maka ianya sangat perlu mendapatkan bantuan profesional supaya kemurungan ini tidak menjadi satu episod yang berulangkali dan menganggu kesejahteraan hidup dan kefungsian peranan secara keseluruhannya.
6. Proses Transisi Dalam Kehidupan
Ramai individu yang terlepas pandang adalah menjadi sesuatu keadaan yang normal apabila berlakunya perubahan besar dalam corak perjalanan hidup kita pasti kita akan merasa kurang selesa, terganggu dan beremosi namun ianya tidaklah perlu sampai ke satu tahap sehingga keharmonian hidup dan kefungsian peranan terganggu. Sebagai contoh pasangan yang baru berkahwin ; sememangnya alam percintaan sama sekali tidak sama dengan alam perkahwinan yang menuntut hak dan peranan yang dimainkan secara adil dan bijaksana bukan sekadar menyediakan keperluan zahir, makan, minum, tempat tinggal tetapi juga keprihatinan tentang memberi layanan, komunikasi, menyuburkan kasih sayang malah juga interaksi sosial di kalangan keluarga, mertua , ipar duai dan keluarga baru yang dimiliki. Tidak kurang juga bagi pasangan yang baru memiliki cahayamata, bagaimana mengurus bayi, menjaga makan minum , sakit pening dan ketidakselesaan tubuh bayi semua ini perlu diambil perhatian tidak seharusnya diletakkan di bahu pasangan atau isteri sahaja ; keadaan ini juga boleh membawa kepada kemurungan.
7. Kehilangan Yang Disebabkan Oleh Kematian Dan Perpisahan
Apabila seseorang merasa kehilangan insan yang siginifikan dengannya adalah menjadi kelaziman untuk mereka melalui masalah kemurungan ini. Rasa rindu , sayang, marah, kesal, sedih, kosong dan kesunyian tiada lagi teman bicara yang selama ini menjadi tempat untuk berkongsi rasa, menghabiskan waktu-waktu bersama dan teman setia yang menemani perjalanan boleh menyebabkan individu terperangkap dalam kemurungan atau satu istilah yang lebih tepat lagi dinamakan “grieving” dalam istilah psikologi. Ia merupakan suatu keadaan yang mencerminkan kesedihan yang dialami oleh individu berkenaan akibat kematian insan tersayang. Selalunya jika tidak dibendung situasi sebegini kerap terjadi kepada golongan atau pasangan yang berusia emas dan kanak-kanak.
8. Kesan Pengaruh Dadah Juga Boleh Menyebabkan Kemurungan
Tidak dinafikan kesan pengambilan dadah juga boleh menyebabkan individu berada di dalam keadaan kemurungan, hilang kefungsian diri serta sosialnya dan tidak kurang juga terkadang gagal mengawal dirinya. Mereka boleh bertindak luar biasa, memarahi orang lain , memukul dan hilang kawalan diri serta bertindak tidak rasional.
9. Masalah Keseimbangan Hormon
Bagi sebilangan wanita, kedatangan haid, awal kehamilan, selepas melahirkan, dan pre-monopous juga boleh menyebabkan kemurungan berlaku. Walaupun tidak serius tetapi jika berlaku sesuatu yang mengganggu emosi berlarutan, individu ini lebih terdedah kepada kemurungan.
Tanda-tanda Kemurungan
- Kesedihan, kepiluan, kesepian (loneliness), jiwa kosong (emptiness) yang berpanjangan
- Gangguan tidur, sukar tidur (imsonia) atau . berlebihan tidur
- Cepat letih. lesu dan tidak bermaya /bertenaga
- Gangguan selera makan, hilang selera atau makan berlebihan ( tanpa kenikmatan)
- Amat sensitif , pendiam dan suka mengasingkan diri
- Perasaan pesimistik Hilang semangat, putus asa/putus harapan
- Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokkan
- Rasa bersalah atau menyalahkan diri atas peristiwa buruk yang belaku.
- “Rasa hidup tidak bermakna / lebih baik mati” (ini tidak semestinya bermaksud keinginan untuk bunuh diri, tetapi suka jika kematian berlaku pada diri. Ini menyebabkan pesakit tidak cenderung untuk mengurus diri dan dan membiarkan kesihatan dan keselamatan diri terganggu. Pemikiran dan tindakan percubaan bunuh diri boleh juga berlaku pada pesakit jika kemurungan berlarutan tanpa bantuan atau rawatan.
- Rasa tidak tenteram dan mudah marah
- Kurang daya tumpuan, sukar membuat keputusan
- Terlalu bergantung kepada ubat-ubatan, alcohol atau dadah.
- Simptom-simtom fizikal seperti sakit kepala, sakit belakang, sakit sendi dan gangguan penghazaman, loya serta semput)
Tips Untuk Mengatasi
- Dapatkan bantuan segera apabila sedar berlaku salah satu simpton di atas. Jangan tunggu sehingga semua simpton tersebut berlaku. Keadaan mungkin akan lebih sukar untuk dipulihkan. Bertemu dengan pakar perubatan, psikoterapis , kaunselor atau orang-orang yang berkebolehan membantu
- Sentiasa hargai, sayangi, dan jaga diri sendiri. Bantulah diri sebaik mungkin dengan mendekatkan diri kepada Allah, pasrahkan diri dan redha dengan ketentuanNya. Keredhaan dan keikhlasan itu adalah penawar. Allah akan memberi yang terbaik, selagi kita memohon kepadaNya. Akan ada hikmah disebalik sesuatu yang berlaku. Yakinkan diri kita.
- Elakkan bersendirian. Berhubunglah dengan rakan taulan dan saudara-mara yang boleh kita harapkan.Jika harus bersendiri banyakkan ibadat dan mengingati Allah dengan berzikir
- Jika terasa ingin menagis, menangislah untuk menghilangkan sebak di dada. Menangis adalah fitrah manusia. Apa yang perlu dielakkan adalah menangis dengan ratapan. Ratapan akan didengar oleh perasaan kita. Ia boleh melemahkan perasaan.
- Kuatkan semangat dengan mengingatkan diri terhadap tanggungjawab kita kepada orang lain. Pada keluarga, rakan taulan, rakan sekerja, dan orang –orang lain yang memerlukan kita. Jika kita terperangkap dengan kemurungan, ia akan memberi kesan kepada mereka.
- Menghadiri majlis ilmu, solat berjemaah dan seumpamanya untuk membuatkan masa lebih terisi dengan aktiviti yang memberi input positif terhadap perubahan diri yang lebih baik yang ingin dicapai.
- Membaca buku-buku yang boleh membina semangat dan motivasi diri
- Jangan menyalahkan diri dan menghukum diri kerana kelemahan yang berlaku.
- Libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membuatkan anda rasa lebih selesa dan tenang.
- Tingkatkan kesihatan diri dengan mengambil makanan yang sihat dan teratur.
- Menulis Gratitude Journal atau Jurnal Kesyukuran sangatlah digalakkan sebagai salah satu cara “coping mechnism” yang sihat untuk individu menyalurmurnikan segala ketidakharmonian diri dan melihat keindahan dan kegembiraan yang dialami walaupun ia dimulai dengan sesuatu yang mungkin dianggap kecil tetapi disitulah bermulanya perjalanan yang gemilang untuk menjemput kembali kebahagian dan MAKNA hidup yang disyukuri.
KESIMPULAN :
Tiada seorang pun insan yang menginginkan kehidupan yang teruji, menderita, sedih, pilu dan hampa, keliru, buntu, takut dan terancam dan putus asa. Setiap takdir dan fasa yang dijalani ada SEBAB dan juga PUNCANYA. Dengan memahami kenapa dan bagaimana individu boleh terjebak dalam kemurungan ini In sha Allah dapat menyuntik celik akal dan komitmen serta kesedaran diri untuk membenarkan dirinya bangkit dan sembuh kembali sihat, harmoni, bahagia dan berfungsi seperti sediakala. Dalam hal ini, tiada siapa yang lebih pantas dan berhak untuk menolong diri mereka kecuali individu itu sendiri, kebenaran dalaman diri yang memilih bahagia, sembuh dan sejahtera In sha Allah mampu menjadi sinergi yang hebat untuk menjayakan lagi usaha-usaha profesional yang dilakukan. Kerjasama erat individu yang teruji , profesional tidak kira sama ada pihak psychiatrist, therapist atau kaunselor juga sokongan keluarga dan insan tersayang boleh membantu penyembuhan yang lebih lancar dan berkesan In sha Allah.
Pesanan saya juga JANGAN MALU untuk mendapatkan bantuan, hindari daripada dogma dan stigma masyarakat ikhtiar dan komitmen mendapatkan bantuan psychiatrist , therapist ataupun kaunselor hanya layak untuk mereka yang mengalami masalah mental haruslah disingkirkan daripada pemikiran kolot dan tidak bertamadun. Kesedaran dan langkah awal rawatan serta bantuan terapeutik yang diberikan mampu mengelakkan daripada masalah atau insiden yang merbahaya yang boleh mengancam nyawa seperti membunuh diri, mencederakan diri dan seumpamanya. SEEK HELP!! Itu pesanan saya…talk to somebody jangan simpan dan pendam seorang. Bagi yang mempunyai sistem kepercayaan beragama kembalilah kepada agama masing-masing dan khususnya bagi mereka yang Muslim perbaikilah hubungan dengan Allah swt. Tidak dinafikan jiwa yang kosong, ruh yang tidak diberikan santapan spiritual boleh mengakibatkan kebingungan, kesedihan dan kepayahan juga kesukaran menjalani cabaran kehidupan. Semuanya milik Allah swt In sha Allah jiwa tauhid yang dibangunkan untuk mencari keredhaan Allah pastinya akan lebih bahagia dan mudah disembuhkan….Jadikan Allah swt TEMAN PERJALANAN HIDUPMU In sha Allah hidupmu pasti akan terbela dan selalu bahagia dan bersyukur juga merasa cukup, aman dan tenteram. Hati yang sejahtera, aman dan bahagia inilah KUNCI untuk menjayakan dunia dan akhirat yang lebih sukses dan bahagia In sha Allah.
Salam Kebahagian ;
Hjh Aniz Hj Anwar
#kaunselorkebahagiananda
#happinesscoach
Leave a Reply