Helping-Children-Cope-With-Grief-Passare

Tips Membantu Kanak-kanak Berhadapan Dengan Isu Kematian, Trauma dan Kehilangan

Bismillahirrahmanirrahim

Baru-baru ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya yang amat meruntun hati ,  sepasang suami isteri juga bayi mereka telah pulang ke rahmatullah akibat sikap segelintir anak muda yang tidak bertanggungjawab berlumba di jalan raya. Amat menyedihkan bila hal sebegini berlaku nyawa insan yang tidak bersalah menjadi taruhan dan tidak semena-mena 2 orang anak kecil menjadi yatim piatu, seorang ibu kehilangan anaknya, menantu, cucu…seorang adik kehilangan abang…ahli keluarga yang selama ini menjadi dahan untuk berpaut. Ya bukan sesuatu yang mudah sebenarnya untuk menghadapi kenyataan sebuah realiti yang pahit sebegini apatah lagi tanpa sebarang persediaan dan isyarat. Untuk golongan dewasa berbekalkan ilmu, akal fikiran dan dokongan iman juga sifat taqwa serta redha walau sukar In shaa Allah mampu diusahakan dengan kebijaksaan dan keberanian diri tapi BAGAIMANA PULA dengan rintihan si kecil , hati yang menangis, meronta , pedih , pilu, terkejut dan sedih berhadapan dengan kematian kedua ibubapa serta adiknya yang tersayang. Trauma kehilangan ini pasti meninggalkan kesan memori yang sangat dalam dan signifikan dalam hidupnya.

Saya sendiri tidak dapat menahan hati dan hiba bila melihat tangisan si kecil yang menangis tidak berhenti …Allah Ya Allah! Hati ibu saya ibarat terhiris pilu melihat wajah yang suci tidak berdosa ini. Didoakan semoga arwah Fairuz Nizam, isteri juga bayi mereka ditempatkan di kalangan ruh mereka yang beriman dan dirahmati Allah swt, manakala seluruh kerluarga mangsa juga kedua anak kecil yang masih dahagakan kasih sayang diberikan penawar, kelapangan hati, ketenangan jiwa, kebahagian serta kekuatan untuk terus mendepani hidup….Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Sebagai seorang kaunselor profesional yang terlibat menangani pelbagai isu, kerenah serta ragam kehidupan saya tidak menafikan isu kematian, kesedihan juga kelukaan yang dalam akibat kematian mahupun perpisahan jarang  atau dalam istilah psikologinya “grieving” amat jarang sekali masyarakat mengambil peduli kecederaan emosi dan kesakitan yang pihak terlibat yang menempuhnya berbanding masalah kemurungan, tekanan, isu rumahtangga, putus cinta, low self esteem dan sebagainya. Sedangkan Allahu Akbar! Kesakitan dan kepedihan serta lara hati kehilangan insan yang amat dikasihi ini amat berat untuk dipinggirkan mahupun tidak dipedulikan serta dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan, bimbingan dan panduan. Maka jangan terkejut adakalanya kesakitan, kesedihan, pilu dan kekecewaan yang terpendam itu akan bertukar menjadi kemarahan dan membawa kelesuan meneruskan hidup.

Untuk menangani isu dan ujian yang sebegini hebat pastinya BERBEZA pengendalian dengan orang dewasa. Di sini saya kongsikan TIPS dan PANDUAN untuk membantu anak-anak kecil yang berhadapan dengan kehilangan, semoga bermanfaat. Salah satu teknik yang boleh dilakukan adalah memberi kebenaran dan pengiktirafan kepada anak tersebut untuk bercerita tentang pengalaman sedihnya kehilangan insan yang mereka kasihi. Peranan orang dewasa, ahli keluarga serta masyarakat sekeliling amat penting khususnya dari sudut RESPONSIF yang diberikan. Menerusi respon balas, pengiktirafan juga keprihatinan golongan dewasa yang mendengar akan memberi dan membentuk persepsi mereka terhadap pengalaman yang dilalui. Adalah lebih baik untuk berterus-terang namun gunakanlah pendekatan yang lebih bijaksana, lemah lembut dalam menyantuni serta membimbing mereka berhadapan situasi pahit ini.

a. Emotional Shock ~ Kejutan emosi yang berlaku boleh menyebabkan anak itu tidak responsif dengan sekeliling, seolah tidak mengerti dan tidak percaya atas peristiwa yang berlaku yang mana sangat perit baginya untuk menerima kenyatan yang pahit ini.

b. Regressive (immature) behavior ~ Berkemungkinan juga untuk beberapa ketika anak kecil itu akan bersikap manja yang teramat, perlukan pelukan , belaian untuk melegakan segala ledakan emosi kejutan kehilangan insan yang dikasihi. Ini amat perlu disediakan suasana yang dapat memberikan dia rasa aman, selamat, tenteram dan disayangi. Dan In shaa Allah secara perlahan-lahan dengan hubungan yang terbina itu nanti diberikan panduan, bimbingan dan keyakinan serta motivasi yang bersesuaian dengan dunia kanak-kanak untuk mereka meneruskan hidup.

c. Explosive Emotions and Acting out behavior ~ Ada ketikanya juga anak kecil akan meragam, marah, tantrum, bersikap degil, memberontak dan ada ketikanya juga mereka akan kelihatan lemah, lesu, kecewa dan tidak bermaya juga bersemangat. Tingkah laku yang ditunjukkan sebenarnya mewakili kecelaruan perasan yang baru ditempuhi, rasa sedih, terkilan, tidak selamat dan kehilangan. Bagi golongan dewasa yang menjaga kebajikan dan menguruskan anak-anak ini sangat perlu lebih sensitif dengan responsif dan tindak tanduk yang diberikan. Sebab itu “its OK” sebenarnya untuk anak-anak tersebut untuk “melepaskan” segala pendaman , kesedihan, kekecewaan, ketakutan dan kebimbangan hati yang dilaluinya. Apabila dia beraksi atau bertingkahlaku negatif seperti menangis tidak berhenti, marah, meragam berikan laluan untuk anak itu merasakan kesakitan emosi dan melepaskannya In shaa Allah dengan bimbingan serta panduan yang tepat inilah sebenarnya sebahagian terapeutik proses untuk penyembuhan dirinya. Pendekatan untuk menyarankan anak itu sabar, tidak menangis, menahan, tidak melepaskan bebanan emosinya adalah TIDAK DIGALAKKAN jika ingin melihat anak itu betul betul sembuh.

Ini bermakna In shaa Allah di satu ruang dan keadaan yang lebih bersesuaian dalam suasana yang lebih tenang usahakan untuk dia meluah dan bercerita. Penghargaan , pengiktirafan rasa sedih yang dialami yang diperolehi akan mebuatkan dia rasa lebih selesa, selamat dan tidak keseorangan. Diringi doa , perkataan yang positif In shaa Allah mampu menyiapkan anak itu lebih cekal dan kuat.

d. Asking the same question over and over again ~ Untuk beberapa ketika mereka mungkin akan menyoal soalan yang sama setiap hari. Please as an adult BE KIND to them. Jawablah dengan ruh yang penuh kasih sayang, mendengar dan melihat ke dalam mata …hadirkan diri melayan mereka. Situasi ini terjadi bukan sebab mereka tidak tahu tentang kenyatan yang berlaku sebagai contoh kematian, penceraian, perpisahan dan sebagainya tetapi perlu difahami dan dimengertikan REALITI yang dihadapi amat berat dan sukar untuk diterima. Sebagai golongan dewasa yang mendengar pertanyaan yang berulang kali itu dapat membantu anak itu tadi menerima pencerahan juga maklumat yang tepat dan benar serta lebih memahami kenyataan hidup yang perlu dihadapinya.

Bagaimana Untuk Membantu Mereka
Berikut adalah beberapa tips daripada Dr. Alan Wolfelt , Director Of The Centre For Loss and Life Transition Fort Collins, Colarado. Ia amat sesuai untuk dijadikan PANDUAN buat para guru, keluarga juga penjaga dalam membantu proses penyembuhan serta kenyaatan hidup anak-anak yang melalui fasa kehilangan ibubapa, keluarga mahupun insan yang disayangi mereka.
1.Berikan anak kecil itu peluang BELAJAR dari proses pengalaman yang ditempuhi, sebagai guru, kaum keluarga serta golongan dewasa jadilah PENDENGAR yang baik.
2. Setiap anak mengikut  kumpulan umur mempunyai kefahaman yang berbeza tentang kematian , kehilangan dan perpisahan. Maka sebagai golongan dewasa tidak sewajarnya kita menyamaratakan bahawa semua anak anak itu mempunyai pemahaman yang sama sahaja tentang kematian dan disinilah adalah menjadi kewajipan golongan dewasa untuk membimbing dan membantu pemahaman mereka dari masa ke semasa.
3. Grieving atau kesedihan ini adalah satu proses ditekankan disini ianya BUKANLAH PERISTIWA. Bermakna sebagai guru , kaum keluarga juga golongan dewasa. Pihak sekolah, guru, kaum keluarga dan golongan dewasa patut memberikan mereka ‘ruang’ dan masa yang bersesuaian untuk mereka melalui kesedihan itu. Sikap yang terlalu ‘menekan’ dan ingin melihat anak itu beraksi secara sihat, normal seperti biasa tanpa membenarkan mereka merasai dan berhadapan dengan kesakitan dan kepahitan kenyaatan hidup yang ditempuhi boleh mengakibatkan kesan juga implikasi yang lebih negatif dan isu yang lebih rumit.
4. Usah berbohong mahupun separa berbohong kepada anak-anak berkaitan peristiwa yang telah terjadi. Perlu disedari anak-anak adalah sangat bijak dan sinsitif, menerusi pemerhatian dan pengalaman mereka belajar berhadapan dengan kenyataan. Berbohong dan tidak berkata benar TIDAK MEMBANTU proses penyembuhan mereka mahupun membantu mereka berkembang dari sudut pembangunan dirinya terutamanya dalam mengatur strategi serta pengendalian di masa hadapan apabila mereka berhadapan kembali dengan isu yang sama.
5. Bantu anak-anak ini untuk lebih memahami tentang proses kitaran kehidupan dan kenyataan yang berlaku mengikut kesesuaian dan tahap umur serta pemikiran mereka.
6. Berikan anak-anak terlibat ruang untuk mereka bertanya dan memahami tentang kematian. Menerusi keprihatinan, kebaikan hati yang mendengar dan membimbing dapat memberikan anak-anak tersebut bukan sahaja kefahaman bahkan juga ketenteraman lebih-lebih tentang persoalan yang mereka tidak faham dan tidak tahu.
7. Setiap kanak-kanak serta individu melalui proses penyembuhan dan menjalani pengalaman yang berbeza, maka ruang harus diberikan untuk mereka belajar tentang kehidupan dan pengalaman.
8. Berikan ruang dan platform bahawa sebagai orang dewasa anda ingin mendengar, membantu dan mengetahui serta menyelami segala isi hati yang ditempuhi. Adakalanya anak-anak berada dalam kesedihan tetapi dia tidak tahu untuk berkongsi dan meluahkan kesedihan hatinya. Disinilah  kesediaan dan keterbukaan guru, kaum keluarga atau mereka yang signifikan dengannya dapat memberikan kegembiraan dan membuka ruang celik akal serta semangat untuk meningkatkan motivasi mereka meneruskan kehidupan.
9. Anak-anak yang kehilangan ibubapa khususnya sangat memerlukan sokongan moral, doa dan bimbingan serta kasih sayang yang berterusan khususnya dalam memimpin mereka meneruskan kehidupan.
10. Grieving mahupun fasa kesedihan yang dilalui anak-anak kesan akibat kehilangan, kematian yang disebabkan trauma melibatkan pengendalian yang lebih kompleks. Contohnya peristiwa kehilangan yang disebabkan penganiayaan, peperangan, kezaliman dan seumpamanya yang menuntut keadilan ditambah pula terkadang melibatkan kelemahan sistem perundangan dan perlembagaan akan turut melibatkan permainan emosi dan kesakitan apabila ia terus dibicarakan. Keadaan ini tidak dinafikan akan mendedahkan lagi kerumitan dan menganggu proses penyembuhan anak-anak tersebut.
11. Bagi kaum keluarga yang juga turut terlibat dengan kehilangan mahupun kematian juga harus mengambilkira proses kesedihan diri yang dialami. Selain berusaha membantu anak kecil yang terlibat individu dewasa juga boleh turut belajar menguasai dan mengendalikan perasaan sedih mereka. Keadaan dan proses penyembuhan yang dilalui ini juga diharap dapat turut sama membantu anak-anak yang terlibat melalui pengalaman pahit dengan pendekatan yang lebih sihat dan baik. Untuk segelintir keluarga keperluan mendapatan rawatan profesional daripada kaunselor, therapist boleh membantu proses penyembuhan yang jauh lebih baik, In shaa Allah.
Begitulah kitaran kehidupan, sebagai hamba kita tidak pernah terlepas dari ujian dan dugaan. Ternyata di sebalik semua itu sebenarnya ada ISYARAT, ada MESEJ yang ingin Allah swt sampaikan. Mana mungkin kita sebagai hamba lebih mengerti dan merasa akan Kehebatan, Kasih Sayang dan Kekuasaan Allah Yang Maha Mendengar, Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Menyembuh kalau tidak pernah teruji, diduga mahupun disakiti sebegini hebat. Peredaran masa, keberanian diri, keikhlasan dan kejujuran untuk hidup lebih bahagia dan bersyukur mampu menghadiahkan solusi dan penawar yang menakjubkan. In shaa Allah pasti akan ada sahaja ‘tangan Allah’ yang dititipkan di sepanjang jalan perjalanan hidup mencari keredhaan di sisiNya.
Semoga entri ini memberi manfaat…sebar luaskan untuk kebaikan, siapa tahu hanya dengan satu klik kita mampu memberi senyuman dan kegembiraan buat insan di luar sana yang sedang mencari PENAWAR kehidupan.
Sehingga bertemu lagi…
Salam Kasih Sayang,
Hjh Aniz Hj Anwar

Facebook comments:

comments

Color
Feminin QC

Leave a Reply