Bimbang terjebak zina – Remaja bersama Aniz, UM110611

As Salam Puan Aniz,

Saya ingin memohon sedikit nasihat dan pandangan daripada pihak Puan berkaitan dilema yang menganggu saya saat ini. Begini Puan Aniz saya Fateha  merupakan seorang pelajar yang kini sedang menuntut di luar negara. Saya terpanggil untuk memohon bantuan dan pandangan Puan kerana bimbang sebenarnya takut terjebak dengan zina.

Saya dan teman lelaki saya mengikuti pengajian di universiti yang sama, jarak yang jauh dari keluarga secara tidak membuatkan hubungan kami lebih akrab. Lantaran itu juga kami bercadang untuk menghalalkan hubungan ini dengan ikatan yang sah di sisi syariat namun dalam masa yang sama bimbang keinginan dan suara hati kami ini dibantah oleh kedua ibubapa kami, bagaimana ya Puan? Apakah tindakan yang harus saya lakukan dan bagaimana harus saya menangani konflik yang hadir ini sebaiknya. Jawapan dari Puan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Fateha

Jawapan ;

Terima kasih kepada Fateha atas kiriman email. Tidak dinafikan ini adalah antara cabaran di alam  dewasa, cinta yang hadir jika tidak diuruskan dengan bijaksana boleh mengundang mudarat hinggakan ada pelajar yang terbuai asyik dan lena di alam percintaan sehingga sanggup menggadai maruah yang kononnya atas dasar cinta. Tak kurang juga gara-gara cinta pengajian terbengkalai di pertengahan jalan. Jauh daripada ibubapa bukanlah satu tiket untuk berbuat maksiat andai sahaja Allah diletakkan di hati.

Untuk dilema yang Fateha alami saat ini bawalah bersujud, memohon pimpinan Ilahi istiharah mudah-mudahan Allah akan memberikan JAWAPAN YANG TERBAIK untuk Fateha dan pasangan. Bawalah perbincangan dengan kedua ibubapa agar redha mereka mampu menjadi bekal untuk Fateha melayari kehidupan berumahtangga dengan lebih harmoni, tenang dan berkat, insyaallah. Keredhaan Allah itu berada di dalam keredhaan ibubapa jangan sesekali pernah terfikir untuk membelakangi mereka. Bawalah perbincangan secara baik buktikanlah kepada kedua orang tua kalian, kalian sudah cukup dewasa , matang dan bersedia untuk memikul amanah besar sebuah transisi perjalanan insan ke alam perkahwinan.

Jadikanlah memburu REDHA Allah itu sebagai matlamat puncak untuk Fateha dan pasangan mendirikan rumahtangga bukan sekadar  menghalalkan yang haram atau mengelakkan zina itu sebagai matlamat. Ternyata andai MISI NAFSU menjadi matlamat dibimbangi hari-hari yang mencabar selepas perkahwinan tidak berupaya mendepani dengan harmoni dan bijaksana apatah lagi saat ini juga sibuk dengan komitmen bergelar pelajar.

Sebuah perkahwinan itu adalah rangkuman benih cinta yang suci, perasaan, keinginan dan tanggungjawab untuk memberi dan mengisinya dengan PENUH AMANAH, ianya bukan suatu ikatan suka-suka hati. Medan dan lapangan suci sebuah perkahwinan itu adalah platform untuk meraih pahala sebagai bekalan apabila pulang mengadap Ilahi  nanti , ganjaran pahalanya hebat dan cabaran yang mengiringinya juga hebat. Mana mungkinkan mengharapkan syurga Allah tapi tidak tegar melalui ujian-ujian dariNYA sama jugalah konsepnya Fateha bergelar pelajar. Pada akhir semester nanti Fateha akan diberi pengiktirafan berdasarkan pencapaian Fateha. Sebuah perkahwinan itu  harus dibina dalam keadaan penuh rasional bersulam iman dan emosi sebagai sandaran dan pengikat diri.

Mudah-mudahan saya mendoakan Fateha bertemu JAWAPAN yang terbaik dalam meneruskan perjalanan hidup Fateha bergelar khalifah di bumi Allah. Saya percaya dengan matlamat yang jelas, Allah pasti bersama memberi kelapangan , kelancaran dan JAWAPANNYA. Saya sendiri menikmati keindahan bergelar pelajar apabila sudah berumahtannga, dengan komitmen dan tanggungjawab bergelar isteri, ibu, anak, pekerja dan masa yang sama bergelar pelajar saya dapat merasakan kebergantungan yang sangat kuat kepada Allah dalam mengiringi hari-hari mencabar saya bergelar pelajar berbanding sewaktu bergelar pelajar ketika bujang dahulu.

Sangat beza keindahan yang dinikmati apabila kita melihat suatu komitmen dan amanah itu sebagai platform untuk meraih REDHA ALLAH, mudah-mudahan ERTI HIDUP inilah yang mampu Fateha dan pasangan nanti nikmati, insyaallah.. Disinilah kematangan, komitmen, pengertian, komunikasi, persefahaman, kasih sayang dan doa kedua-dua pasangan suami isteri diperlukan . Perkahwinan bukan sekadar suka-suka tetapi mengisi amanah, menjunjung syariat Allah melahirkan pewaris Nabi pembela umat di akhir zaman, di samping terus berbagi amanah sebagai seorang khalifah yang memakmurkan bumi Allah, insyaallah.

Buat Fateha selamat meneruskan perjalanan yang indah, ketahuilah KASIH ALLAH itu selalu ada, rujuklah, mohonlah pimpinanNYA mudah-mudahan segalanya akan terpancar keindahan, solusi dan kebahagian yang Fateha nanti-nantikan selama ini.

Bagi menghiasi dan memeriahkan lagi warna-warni keindahan dalam perjalanan ini, dijemput Fateha juga para pembaca yang dikasihi melanggani newsletter inspirasi hidup, motivasi , rahsia penyembuhan diri khususnya sudut psikologi terus sahaja ke peti surat email kalian dengan mendaftar di http://kliniksukses.anizanwar.com/ksoptin/

Temui saya dalam Program Life Coaching KLINIK SUKSES Jun ini. Kadar istimewa untuk pendaftaran sebelum 15 Jun 2011!

Info lanjut di http://kliniksukses.anizanwar.com

Jumpa lagi dalam warna-warni kehidupan seterusnya

Facebook comments:

comments

Leave a Reply