Tips Menangani Dominan @ Queen Control Dalam Rumahtangga

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah pagi semalam sempat saya menghadiri siaran langsung rancangan Feminin TV1 bersama Pengacara Datin Ira Ghani yang cukup berseri dan ceria dengan sikap peramah beliau menghidupkan suasana di Studio 1. Topik yang dibawakan cukup HANGAT iaitu Queen Control. Antara lain apa yang dimaksudkan di dalam Queen Control ini termasuklah tindakan dan perilaku si isteri yang suka mengawal, mengongkong dan juga memberikan arahan kepada suami agar mengikut telunjuk serta akur akan saranan mahupun perintah serta syarat yang diberikan. Ini termasuklah mengawal gerak-geri suami, menghalang suami daripada melakukan hobi yang disukainya dan tidak kurang juga memutuskan hubungan suami dengan orang yang tidak disukainya termasuklah kenalan suami, keluarga dan seumpamanya. Ibarat bidalan orang tua-tua dahulu lagak suaminya itu seperti “lembu dicucuk hidung”…ermm kasihan jugakan. Kenapa boleh jadi begini???

Satu soalan yang sangat baik!! Ada beberapa PUNCA mengapa terkadang keadaan Queen Control ini terbawa dala perkahwinan di antaranya termasuklah :

1. Pengaruh latar belakang, persekitaran, lekatan serta pengalaman silam : Perlu difahami Queen Control tidak boleh terjadi MAGIK begitu sahaja mesti ada cerita dan permulaannya ; Ya tidak dinafikan adakalanya pengaruh sekeliling, pengalaman hidup serta pemerhatian jika ‘sesuatu perkara atau keadaan yang kelihatan tidak sihat’ di mata pasangan berkenaan tidak dihentikan ia akan membawa mudarat. Sebagai contoh takut suaminya terpengaruh dengan gaya hidup semasa bujang yang banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan, takut suami dipengaruhi oleh tingkah laku negatif rakan-rakannya dan sebagainya.

2. Tidak dinafikan juga Queen Control ini juga adalah manifestasi rasa sayang yang teramat takut akan kehilangan adakalanya. Khuatir cinta suami itu beralih arah apabila banyak masa di habiskan di luar rumah atau lingkungan kehidupan berumahtangga itu sendiri.

3. Malah ada juga keadaan berlaku disebabkan sikap dan kepimpinan suami itu sendiri yang kurang mengambil peduli tentang perihal , kebajikan serta pengurusan rumahtangga. Secara tidak langsung maka untuk memastikan perjalanan rumahtangga berjalan teratur dan lancar maka si isteri mengambil sikap dominan dalam menyusun atur dan membuat keputusan dalam rumahtangga.

4. Ada juga situasi yang berlaku bila suami sendiri tidak kuasa ingin bertekak atau bergaduh dengan si isteri hanya kerana perkara-perkara yang remeh lantas membenarkan dominan atau queen control terjadi.

5. Dan seperkara lagi perkara yang juga turut berlaku dalam perkahwinan apabila isterinya dominan atau queen control bilamana terkadang jawatan, taraf pendidikan dan ekonomi isteri lebih tinggi daripada suami. Barangkali apabila kurangnya ilmu dan kefahaman tentang akur dan tanggungjawab sang isteri terbawa dominannya sebagai ketua dan pemimpin di sudut kerjaya membawa AURA itu ke dalam perkahwinan. Selama mana untuk kebaikan tidak mengapa tapi apa pula kisahnya jika hati kecil suami itu terhiris dan terluka…Nauzubillahminzalik…Tanpa sedar mengundang kemurkaan Allah nanti.

6. Dan tidak dinafikan juga adakalanya queen control ini terjadi disebabkan oleh hasutan dan campur tangan pihak ketiga tidak kiralah ibubapa, mertua atau sahabat handai dan kenalan. Tanpa sedar tidak kena gaya mengambil nasihat yang melulu tanpa memikirkan kesan dan akibatnya untuk jangka masa panjang menjeruk rasa…makan hati si suami. Jangan begitu ya, bila sudah berumahtangga ada adab, ada etika, ada peraturan juga pensempadanan yang perlu dijaga bukan semudah dan sepantas itu membenarkan nasihat atau panduan orang lain diterima pakai dalam perkahwinan dan kehidupan berumahtangga kita.

Dan BAGAIMANA untuk mengatasinya???

1. Kenali pasangan dan selami dunianya ~ In shaa Allah dengan menyelami dan cuba mengenali dunia pasangan mudah-mudahan suami akan lebih mudah mengerti KENAPA si isteri bertindak sedemikian.

2. Berani untuk membetulkan keadaan  ~ Bermakna pasangan yang diuji dengan isu konflik queen control ini sewajarnya perlu berani untuk MENGAKUI dan MENERIMA perkahwinan mereka mempunyai masalah. Tindakan lari daripada masalah dan memendam perasaan atas ketidakpuasan serta amarah mahupun kekecewaan yang berlaku adalah TIDAK SIHAT sama sekali untuk kelangsungan rumahtangga untuk jangka masa panjang. “Accumulated stress” yang dibawa saban hari…bertambah dari waktu ke waktu dikhuatiri mampu menjadi letusan gunung berapi yang mengancam perkahwinan itu sendiri di kemudian hari. Maka jangan terkejut akhirnya perkahwinan yang dibina akan terlerai dengan perpisahan dan penceraian.

3. Sikap isteri yang terlalu mengongkong, dominan dan queen control boleh menyebabkan suami merasa rimas, marah dan tidak selesa. Suasana tegang, tidak harmoni sangat tidak kondusif untuk mewujudkan ruang komunikasi yang sihat untuk pasangan. Pasangan yang ideal itu seharusnya bijaksana dan mampu memainkan peranannya sebagai KEKASIH, SAHABAT DAN SUAMI/ISTERI menurut keperluan dan tuntutan suasana. Apabila ketegangan dan ketidakharmonian ini berlaku lambat laun akan menimbulkan kebosanan yang akan merosakkan perkahwinan itu sendiri.

Maka apabila keadaan ini terjadi PILIHAN dan TINDAKAN ada di tangan pasangan. Bagi yang benar-benar ingin memilih bahagia…membenarkan diri juga pasangan bahagia serta harmoni meniti dan melayari kehidupan berumahtangga seterusnya langkah yang bijak adalah dengan mendapatkan bantuan pihak ketiga dan profesional yang tiada bias semestinya bukan di kalangan ahli keluarga atau kenalan. RESEPI , PENAWAR dan SOLUSI pada situasi sebegini adalah ILMU, pengetahuan, kemahiran, kepakaran, pengalaman yang akan menyuluh PENCERAHAN DIRI untuk menjadi insan yang lebih baik, suami yang lebih baik, isteri yang lebih baik dan pasangan yang lebih baik yang mampu saling melengkapi, menguatkan, memimpin, membimbing dan mendoakan dengan penuh RUH KASIH SAYANG kerana pada akhir-akhirnya nanti MATLAMAT kita adalah ingin bahagia dan tenang di syurga Allah swt.

Kursus perkahwinan yang dihadiri sekadar menyiapkan diri untuk memasuki alam perkahwinan itu sahaja NAMUN untuk melayari ALAM PERKAHWINAN yang bertahun-tahun itu hingga nyawa bercerai dari badan …melalui fasa-fasa yang tertentu juga mencabar pasangan memerlukan komitmen, amanah, tanggungjawab, pengorbanan, pengetahuan, strategi, kemahiran dan kompetensi juga kesetiaan untuk saling menjaga, membetulkan dan menguatkan kerana Allah swt. Dan ini semua bukanlah kisah sekelip mata untuk dikuasai dengan baik…kebenaran diri untuk belajar, memaafkan dan memilih BAHAGIA , KEINDAHAN, KEBAIKAN membantu perjalanan dunia dan akhirat semoga akan terpimpin hati mencari cahaya dan ilmu meneruskan perjalanan.

Saya amat tertarik dengan petikan kata-kata nasihat dari Habib Ali Jufri antra lain menyebut :

“Seorang suami yang membiasakan dirinya bertegas dalam perkara akhirat dan bertolak ansur dalam perkara dunia, maka Allah akan campakkan perasaan hormat yang tinggi dalam hati isteri kepada sang suami ” .

Dan tidak salah sebenarnya untuk suami bertoleransi dengan isteri untuk hal-hal duniawi asal sahaja adab, tingkahlaku dan bicara itu dilakukan dengan santun dan menyenangi hati sang suami. Ini kerana Islam meletakkan ‘kuasa mengurus rumahtangga’ di tangan isteri, bukan ibu atau ibu mertua atau siapa sahaja yang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Akan tetapi, tidaklah bermaksud si isteri itu  boleh berbuat sesuka hati hingga mengundang kekeruhan dan mudarat dalam rumahtangga maka disinilah betapa pentingnya peranan ilmu dan kefahaman agama yang mampu memimpin diri agar lebih bijaksana dan adil dalam mengemudi juga menguruskan rumahtangga. Berbahagia untuk memberi bahagia dan membuat orang lain berasa bahagia apatah lagi suami, kerana redha Allah itu juga si isteri terletak pada suaminya. Dalam kamus seorang isteri itu, suami harus dimuliakan namun perlu diingatkan ya di sini bukannya dengan menjadi hamba kepada suami dengan melulu dan membuta tuli…TIDAKKK! Sama sekali kebaikan yang membuta tuli tanpa sempadan juga boleh mengundang murka andai sahaja ia dibiarkan membuatkan suami lalai dan alpa akan hak dan tanggungjawabnya MAKA sekali lagi disinilah pentingnya peranan ILMU ALAM PERKAHWINAN memimpin diri. Dan untuk suami pula selaku PEMIMPIN ini pastinya bukanlah TIKET untuk  menjadi KING CONTROL pula ya…semuanya berbalik kepada ilmu, In shaa Allah dengan pencerahan ilmu kita mampu menjadi lebih bijaksana dan ADIL meletakkan hak dan amanah itu pada tempatnya kerana syurga Allah swt itu menanti untuk pemimpin dan pasangan yang ADIL dalam memberi juga melaksanakan peranannya.

 

Belajar memaafkan kekurangan , kelemahan dan ketidaksempurnaan diri dan juga pasangan…dan jujur , ikhlas serta berani berubah untuk yang lebih baik…untuk kebahagian hari ini dan akan datang…untuk perjalanan dunia dan akhirat REDHALAH dengan takdir yang ditempuhi…ada IBRAR…ada HIKMAH…ada MESEJ dan ISYARAT Allah swt…Semua yang berlaku tidak pernah sia-sia andai sahaja kita memilih untuk melihat dan mencari sudut kebaikan yang ada di dalamnya. Semoga dengan rahmat, kasih sayang dan kebaikan Allah swt PEMILIK segala memimpin untuk menjadi hambanya yang bukan sahaja bahagia tetapi LEBIH UTAMA dari itu juga mampu MEMBAHAGIA dan MENGGEMBIRAKANNYA…Aamiin Allahumma Aamiin Ya Allah!

 

Sehingga bertemu lagi…Dengarkan MELODI KASIH DAN PENCERAHAN untuk hiburan tengahari ini…

 

Inspirasi Cinta Jannah ;

Hjh Aniz Hj Anwar

 

 

 

 

 

Facebook comments:

comments

Leave a Reply